Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, pernahkah anda mendengar perkataan "perubatan alternatif'? Saya pasti ramai yang pernah mendengarnya, khususnya mereka yang sudah berputus asa dengan perubatan moden, iaitu ketika mana pihak hospital tidak dapat melakukan apa-apa lagi kepada pesakit.
Ada yang menggunakan perawatan yang dianggapnya "perubatan alternatif" seperti akupuntur, kiropraktik, refleksologi, herba dan lain-lain. Ada juga yang menggunakan perawatan yang dianggapnya sebagai "perubatan Islam" seperti bomoh-bomoh, jampi-jampi, jin-jin, sihir, saka dan kerasukan. Namun, benarkah semua itu? Adakah perawatan moden itu adalah yang terbaik? Benarkah perubatan Islam adalah seperti yang disangkakan oleh kebanyakan umat Islam sekarang?
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sebelum kita melangkah lebih jauh, mari kita fahami apakah yang dimaksudkan dengan "perawatan alternatif" terlebih dahulu. Secara mudahnya, perawatan alternatif dapatlah didefinisikan sebagai sistem atau kaedah perawatan yang bukan menjadi pilihan pertama yang digunakan setelah suatu sistem lain yang diiktiraf sebagai sistem perawatan yang utama.
Dalam konteks masyarakat terkini, perubatan moden atau barat tidaklah disebut sebagai perawatan alternatif, sebaliknya yang dikatakan sebagai perawatan alternatif ialah perawatan yang tradisional seperti yang telah saya sebutkan, dan ini termasuklah perawatan yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad seperti bekam, madu, Al-Quran, doa dan habbatus sauda'. Jadi jelaslah bahawa sistem atau kaedah perawatan yang menjadi sistem utama dalam masyarakat kini secara umumnya ialah sistem barat dan yahudi, bukan sistem yang Nabi ajarkan yang dikenali sebagai "Tibbun Nabawi".
Para pembaca sekalian,
Bagaimana hal ini boleh berlaku? Tidakkah kita merasakan bahawa perkara ini merupakan suatu penghinaan terhadap Nabi kita nabi Muhammad S.A.W? Pada pemerhatian saya, saya berpendapat perkara ini berlaku disebabkan oleh kerana ada pihak yang merasakan bahawa urusan perawatan adalah urusan dunia yang tiada ketetapan khusus daripada agama. Oleh itu, kita bebas untuk memilih mana-mana sistem perawatan untuk digunakan sepertimana kita bebas untuk tinggal di mana-mana sahaja atau sepertimana kita bebas untuk memilih mana-mana kenderaan untuk menuju ke sesuatu destinasi.
Namun, perlu kita ketahui juga bahawasanya bidang perubatan merupakan satu bidang yang unik dalam Islam. Walaupun kita merasakannya sebagai urusan dunia, tetapi adakah kita buta dengan pelbagai hadis Nabi yang menceritakan tentang perawatan? Seolah-olah perawatan sudah menjadi sebahagian daripada Islam, atau seolah-olah Nabi adalah seorang doktor dan perawat. Bukan sedikit hadis berkaitan perawatan, tetapi terlalu banyak untuk dihitung, sehinggakan hadis-hadis tersebut dapat dikumpulkan oleh ulama-ulama terdahulu dan dibukukan dalam berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus buah kitab.
Wahai umat Nabi Muhammad sekalian,
Benarkah kita ini umat Muhammad? Benarkah kita berkelakuan sepertimana yang diajarkan Nabi? Ataupun kita hanya pandai mengaku tanpa mengamalkan ajaran Nabi? Bagi saya, apabila kita mengatakan bahawa sunnah perawatan Nabi sebagai perawatan alternatif, manakala perawatan moden sebagai perawatan utama, maka ia adalah suatu penghinaan terhadap Nabi sekaligus menghina Islam dan Allah sendiri kerana tidak akan keluar sesuatu daripada mulut Nabi melainkan semuanya adalah wahyu daripada Allah.
Mungkin ada yang berasa susah untuk mempercayai apa yang Nabi sebutkan kerana tiada bukti saintifik, atau mungkin ia berasa ketinggalan zaman dengan mengamalkan sunnah perawatan Nabi. Tapi, ketahuilah tuan-tuan dan puan-puan sekalian, sesungguhnya apa yang Nabi ajarkan adalah benar kerana ia datang daripada Allah, Dialah tuhan yang menurunkan penyakit dan Dia jugalah yang menurunkan penawarnya yang telah diajarkan pada Rasul-Nya.
"Tidaklah Allah menurunkan sesuatu penyakit itu melainkan diturunkan juga bagi penyakit itu penawarnya."
(Riwayat Bukhari)
Sebenarnya terdapat banyak bukti tentang penyelewengan perubatan moden atau barat. Ada konsep-konsep yang tidak relevan dan patut ditolak seperti pemvaksinan. Selain itu, banyak lagi kelemahan lain yang membuatkan perawatan moden tidak sesuai untuk diamalkan, bahkan adakalanya ia tidak menjadi ubat, sebaliknya racun perosak yang memudaratkan diri. Secara peribadi saya hanya menerima konsep pembedahan dalam perawatan moden, tetapi tidak termasuk ubat yang digunakan sebagai bius.
Antara yang menarik untuk kita perhatikan ialah madu. Perawatan moden menyatakan bahawa glukosa tidak sesuai diambil oleh pesakit kencing manis. Tetapi, madu lebah bukan setakat boleh diambil oleh pesakit kencing manis, bahkan menjadi ubat dan penawar bagi penyakit ini, sedangkan kandungan glukosanya sangat tinggi. Jadi, apakah punca sebenar penyakit ini? Bagaimana perkara sebegini boleh berlaku? Tentu ada penjelasan yang mungkin belum ditemui oleh perubatan moden.
"Gunakanlah dua penyembuh, madu dan Al-Quran."
(Riwayat Ibnu Majah dan Al-Hakim)
Kesembuhan itu pada tiga perkara. meminum madu, berbekam dan kayy (besi panas). Dan aku tidak membenarkan umatku menggunakan kayy."
(Riwayat Bukhari)
"Sebaik-baik perawatan bagi kamu adalah dengan berbekam."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Antara kelebihan madu ialah, seekor lebah yang benar-benar lebah tidak akan menghasilkan madu melainkan setelah ia hinggap sekurang-kurangnya pada 144 jenis tumbuhan (herba). Inilah keunikan Tibbun Nabawi, terlalu banyak rahsia yang ada padanya. InsyaAllah saya akan cuba jelaskan beberapa prinsip perubatan secara Islam berdasarkan sunnah Nabi, dan saya juga akan cuba membongkarkan penyelewengan perubatan barat atau yahudi. Sekarang telah tiba masanya untuk kita kembali kepada ajaran Islam, kembali kepada sunnah Nabi, kembali kepada fitrah alam ini...
"Dan apabila aku sakit, maka Dia-lah yang menyembuhkanku..."
( Asy-Syu'ara' : 80 )
-almomentum-
.
