MAKLUMAN TERKINI


> KEPADA MANA-MANA PESERTA KURSUS BEKAM DAN IRIDOLOGI 2010 YANG BELUM MENUNTUT SIJIL PENYERTAAN, ANDA BOLEHLAH MELAKUKAN DEMIKIAN MULAI SEKARANG, SILA RUJUK PAUTAN INI, LINK.


______________________________________________________________________________

TAUFIQ DAN HIDAYAH MILIK ALLAH



Dapatkan album UNIC yang terbaru berjudul HIJRAH, memuatkan nasyid yang liriknya ditulis oleh Tuan Haji Ismail bin Haji Ahmad.



Alhamdulillah, warga Komuniti HPA Kaherah melahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana semua warga Malaysia khususnya pendokong-pendokong perjuangan HPA masih selamat ekoran peristiwa yang berlaku di Mesir. Walaupun peristiwa ini menimbulkan pelbagai masalah dan kesukaran dalam urusan kita, namun kita yakin ada rahsia dan hikmah tersembunyi yang telah diatur dengan begitu indah oleh Allah Yang Maha Berkuasa.

Isu yang akan kita kongsikan pada kali ini ialah berkenaan hidayah dan taufiq. Dua perkara ini sangat penting dalam menghayati dan mengamalkan Islam sebagai cara hidup yang syumul, lengkap dan sempurna. Secara umumnya, dapatlah kita ertikan hidayah sebagai wujudnya ilmu dan pengetahuan mengenai perkara yang baik dan buruk, dengannya kita dapat membezakan antara haq dan batil, kebenaran dan kesesatan. Adapun taufiq itu dapatlah kita takrifkan sebagai "kehendak kita" untuk mengamalkan "apa yang kita tahu". Apabila ilmu kita atau hidayah yang ada membuatkan kita dapat membezakan mana yang haq dan mana yang batil, maka fungsi taufiq adalah untuk menyesuaikan kehendak kita agar dapat bergerak untuk melakukan yang hak dan meninggalkan kebatilan. Hidayah membuatkan kita tahu, taufiq membuatkan kita melaksanakan apa yang kita tahu.

Dengan itu jelaslah bahawa sekadar tahu atau belajar tentang sesuatu perkara tidaklah menjamin kita akan melakukan apa yang sepatutnya. Oleh itu hendaklah kita berdoa memohon kepada Allah agar dikurniakan taufiq dan hidayah Allah agar perjalanan hidup kita bertepatan dengan sistem kehidupan yang telah digariskan oleh Allah, Dialah Tuhan yang telah menciptakan kita dan mengetahui sistem yang terbaik untuk kita.

Dalam perjuangan kita untuk menyebarkan seruan dan dakwah HPA agar kembali kepada sistem Islam, sama ada berkaitan pemakanan, perawatan, ekonomi dan sebagainya, maka tidaklah semua orang menerimanya. Hal ini sering dihadapi oleh para penggerak HPA yang berhadapan dengan masyarakat Islam sendiri, bahkan bukanlah sesuatu yang pelik jika orang yang kita rasakan memiliki ilmu agama yang tinggi juga adakalanya tidak dapat menerima apa yang kita perjuangkan meskipun ia mengetahui kebenaran seruan kita. Kes sebegini bukan suatu kes yang asing bagi pejuang HPA, maka kita perlu yakin bahawa hidayah dan taufiq adalah milik Allah semata-mata, janganlah kecewa atau ragu dengan penolakan yang dihadapi.

Mungkin ada manusia yang tahu bahawa Islam yang merangkumi semua aspek kehidupan ini, telah menetapkan hukum-hukum tertentu bagi sesuatu perkara, tetapi mereka seolah-olah menerima sebahagian sahaja daripada ajaran Islam yang lengkap ini. Ada manusia yang merasakan Islam hanyalah solat, puasa, zakat dan haji. Ada yang tahu bahawa Islam juga merangkumi urusan politik, pemerintahan dan pentadbiran, tapi tidak ramai yang tahu bahawa Islam juga mempunyai aturan pemakanan, perawatan dan ekonomi yang tersendiri. Maka inilah tanggungjawab selaku pejuang HPA, menerangkan kepada masyarakat dan umat Islam di luar sana mengenai sistem Islam yang sebenar, isu halal haram, isu penindasan zionis, isu kelemahan ekonomi umat Islam. Inilah sistem yang syumul beradasarkan syara', fitrah dan sunnatullah.

Yakinlah wahai penggerak HPA sekalian, sesungguhnya kebenaran itu pasti akan menang walau ditentang hebat oleh sesiapapun. Kita tidak perlu ragu atau kecewa dengan apa yang berlaku, sebaliknya kita hanya perlu berjuang dan menunggu saat tibanya kemenangan yang Allah janjikan, insyaAllah..


Dari Abu Muhammad, Al-Hasan bin Ali bin Abu Talib, cucu Rasulullah SAW dan kesayangannya r.a telah berkata : " Aku menghafal dari Rasulullah SAW : ' Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada yang tidak meragukanmu. "

(Riwayat Tirmizi dan Nasa'i)


"Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang lelaki yang berjalan jauh. Rambutnya kusut, berdebu, mengangkat kedua-dua tangannya ke langit serta berdoa : " Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! " Sedangkan makanannya dari yang haram, minumannya dari yang haram dan pakaiannya dari yang haram, dan dia telah dikenyangkan dari sumber yang haram. Maka bagaimanakah permintaannya akan dimakbulkan?"

(Riwayat Muslim)


Na'uzubillah...



-almomentum-




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...