Pernahkah anda mendengar "Perubatan JAWI" ? Mungkin istilah ini agak baru bagi sesetengah orang. Mungkin anda biasa mendengar homeopati, alopati, akupunktur, refleksologi, ayurveda, sensei dan beberapa lagi nama sistem perubatan yang ada di dunia ini. Semua itu adalah sistem-sistem perawatan yang digunakan oleh manusia untuk merawat kesakitan yang menimpa diri. Biarpun terdapat banyak cara dan kaedah perawatan, matlamatnya tetap sama, iaitu untuk mengekalkan kesihatan serta merawat kesakitan.
Perubatan JAWI (PJ) telah diasaskan oleh Tuan Haji Ismail bin Haji Ahmad yang berasal daripada Perlis. Sistem PJ merupakan sebuah sistem rawatan yang melengkapi kehidupan manusia secara menyeluruh, ia tidak hanya mementingkan aspek fizikal semata-mata atau rohani semata-mata. PJ menggabungkan kedua-dua unsur ini dengan sangat baik dan seimbang. Mari kita lihat apakah maksud perkataan "JAWI".
J = Jejawi, ia merupakan nama tempat sistem PJ diasaskan, iaitu Jejawi, Perlis.
A = Alamiyyah, ini bererti sistem PJ menggunakan sumber bahan yang diperolehi daripada alam ciptaan Allah ini dalam bentuk asalnya tanpa mengubah struktur asasnya sepertimana yang berlaku pada dadah sintetik.
W = Wataniyyah, ini bererti PJ mengutamakan penggunaan bahan semulajadi yang terdapat pada persekitaran kerana wujud kesesuaian antara alam dan tubuh.
I = Ilahiyyah, ia bererti PJ menjadikan wahyu yang datang daripada Allah sebagai sumber rujukan utama dalam melakukan perawatan. Sumber wahyu tersebut ialah Al-Quran dan As-Sunnah.
Dua asas yang paling utama dalam PJ ialah Ilahiyyah dan Alamiyyah. Prinsip ilahiyyah menjadikan para pengamal PJ meyakini bahawa Allah yang menurunkan penyakit, adapun penyembuh yang memberi kesembuhan yang sebenar ialah Allah juga, bukan yang lain. Dialah Asy-Syafi, Maha Penyembuh bagi penyakit rohani dan jasmani. Selain itu, prinsip ini juga menjadikan PJ menepati aturan Islam dalam perawatan, sama ada dari segi kaedah perawatan atau bahan-bahan yang digunakan, ia mestilah tidak bersumberkan najis.
Prinsip Alamiyyah pula menunjukkan pengamal PJ meyakini bahawa sumber terbaik dalam perawatan adalah alam ini sendiri tanpa sebarang gangguan atau penstrukturan semula terhadap bahan tersebut. Ini kerana pada bahan-bahan alami tersebut terdapat keseimbangan dan susunan yang baik dan sesuai dengan manusia, yang hanya diketahui oleh Allah secara sepenuhnya. Walaubagaimanapun, beberapa keseimbangan ini telah ditemui melalui sains moden, moga bertambah keimanan dan keyakinan terhadap kuasa Allah.
Gabungan kedua-dua asas ini iaitu ilahiyyah dan alamiyyah menghasilkan keseimbangan dan keselarasan antara wahyu dan akal, syariatullah dan sunnatullah, agama dan sains.
"Apabila bertepatan antara ubat dan penyakit, maka akan berlakulah kesembuhan dengan izin Allah"
(Riwayat Muslim)
BEBERAPA KEISTIMEWAAN PERUBATAN JAWI
1. Menjadikan Tibb Qurani dan Tibb Nabawi sebagai asas perawatan kerana perubatan yang berasaskan wahyu ilahi tidak datang daripada timur atau barat, tetapi dari 'atas sana' untuk kita amalkan. Manakala perubatan-perubatan lain tidak ditolak sepenuhnya, tetapi dinilai baik buruknya lalu dipilih menurut yang terbaik sehinggalah kepada yang paling buruk berdasarkan keutamaan, kesan dan keperluan.
"Orang-orang yang mendengar pelbagai perkataan, lalu mereka mengikuti apa yang terbaik. Mereka itulah orang yang mendapat petunjuk Allah dan mereka jugalah orang yang mempunyai kebijaksanaan."
( Az-Zumar : 18 )
2. Menggabungkan unsur rohani dan jasmani, tidak menafikan peranan rohani dalam penyembuhan penyakit. Bahkan perkara ini memang menjadi kajian para saintis dalam bidang psikosomatik dan 'placebo and nocebo effects'. Orang yang tertekan rohaninya akan mengalami rembesan hormon kortisol berlebihan yang boleh membawa kepada tekanan darah tinggi. Pengamal PJ meyakini bahawa peranan unsur rohani seperti ketenangan, kesabaran dan keyakinan dalam menjana kekuatan semulajadi (kekuatan fitrah, self healing) serta kesembuhan adalah sebanyak 90%, manakala peranan aspek fizikal seperti ubat-ubatan dan rawatan yang bersifat material hanyalah 10%.
Allah berfirman ;
" Aku adalah berdasarkan apa sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Jika ia bersangka baik, maka itulah untuknya. Dan jika ia bersangka buruk, maka itulah untuknya..."
(Hadis Qudsi Riwayat Ahmad)
3. PJ memberi penekanan kepada perubatan pencegahan (tibb wiqa'i, preventive medicine). Dengan sebab itu, para pengamal PJ perlu menjaga pemakanan dan gerak gerinya seharian. Pemakanannya mestilah "halalan" bagi mengelakkan penyakit rohani, pemakanannya juga mestilah "toyyiban" bagi mengelakkan penyakit jasmani. Gerak-gerinya juga mestilah berdasarkan Islam dan menuju ke arah gaya hidup sihat.
"Wahai manusia, makanlah apa-apa yang halalan (halal) toyyiban (baik) yang ada di muka bumi ini. Dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya ia merupakan musuh yang nyata bagi kamu."
(Al-Baqarah : 168)
BEBERAPA ILMU UTAMA DALAM PERUBATAN JAWI
1. Asas-Asas dan Prinsip Perubatan Jawi
2. Diagnos Tapak Tangan
3. Iridologi (diagnos iris)
4. Diagnos Umum ( nadi, lidah, muka, suara, penampilan )
5. Herbalogi ( farmakologi herba )
6. Bekam
7. Kiropraktik ( pembetulan tulang belakang )
8. Refleksologi ( urutan )
9. Akupuntur
10. Asas-asas perubatan moden ( fisiologi, anatomi, patologi/penyakit )
11. Akupressur
12. Urutan limfatik
InsyaAllah pihak Komuniti HPA Kaherah akan cuba memperluaskan sistem Perubatan JAWI dan menjadikan sistem ini sebagai pilihan utama sebelum melihat kepada sistem yang lain. Kepada mana-mana individu atau organisasi yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Perubatan JAWI, anda bolehlah berhubung terus dengan pihak KHK.
Wallahu'alam...
Oleh : Pengarah Eksekuif KHK 2011/2012
.

