MAKLUMAN TERKINI


> KEPADA MANA-MANA PESERTA KURSUS BEKAM DAN IRIDOLOGI 2010 YANG BELUM MENUNTUT SIJIL PENYERTAAN, ANDA BOLEHLAH MELAKUKAN DEMIKIAN MULAI SEKARANG, SILA RUJUK PAUTAN INI, LINK.


______________________________________________________________________________

PERJUANGAN KHK (1)

Sebelum ini telah disiarkan sebuah artikel mengenai perjuangan HPA, KHK selaku penyokong dan pendokong HPA di Malaysia tentulah tidak lari daripada perjuangan HPA yang sebenar. Namun, ingin dinyatakan di sini secara khusus perjuangan KHK di Mesir.

Pertamanya, perjuangan tertinggi KHK ialah Islam. Ini merupakan asas yang sangat penting bagi mana-mana indvidu atau organisasi. Apabila seseorang atau sesebuah organisasi berjuang bukan atas dasar Islam, maka sia-sialah hidupnya. Bahkan, mereka akan termasuk dalam kalangan mereka yang rugi di akhirat sana, walaupun mungkin mereka tertipu dengan nikmat dunia yang banyak, itulah yang dinamakan istidraj, na'uzubillah...

Keduanya, KHK memperjuangkan pemakanan dan penggunaan produk yang halalan toyyiban. Hal ini sangat penting kerana isu pemakanan yang benar-benar menurut syarak sudah tidak dipedulikan lagi oleh kebanyakan umat Islam. Jika makanan yang haram pun sudah menjadi santapan harian, apatah lagi makanan yang syubhah. Era sebelum ini jarang sekali diperkatakan isu halal haram dalam pemakanan, ini kerana orang terdahulu pemakanannya adalah berdasarkan bahan mentah yang dimasak secara terus. Mereka membeli beras, gandum, sayuran, buah-buahan dan lauk, kemudian terus dimasak dan dimakan. Oleh itu, tidak timbul isu halal haram. Jika ada juga, ia lebih kepada pengharaman yang bersifat mendatang, seperti sesetengah ulama yang tidak menerima pemberian daripada orang yang zalim.


Berbeza dengan kita sekarang ini, makanan kita kebanyakannya bukan lagi seperti orang terdahulu, makanan kita banyak yang diproses di kilang, kemudian dicampur dengan pelbagai bahan kimia sebagai penambah perisa dan pengawet, sumber bahan-bahan kimia tersebut adalah tidak jelas. Ditambah pula dengan pengusahanya yang kebanyakannya adalah bukan Islam, maka semakin mudah kita ditipu oleh mereka dengan memasukkan bahan haram dalam produk mereka. Lagipun, sumber bahan kimia yang paling murah dan mudah untuk didapati ialah khinzir. Sebelum ini timbul isu daging kisar (mafrum) yang diperbuat daripada kucing, keldai dan anjing tersebar di Mesir. Terselamatkah kita?

Begitulah juga dengan penggunaan produk bukan makanan. Produk pada zaman ini semakin canggih, namun di sebalik kecanggihan itu, siapa antara kita yang prihatin dengan sumbernya? Sebelum ini, ada sahabat kita yang terjumpa tanda kulit khinzir pada kasut yang dibelinya daripada kedai At-Tauhid Wan Nur. Terselamatkah kita daripada semua ini?


Selain isu halal haram, isu keselamatan dan kesihatan juga menjadi perkara yang diragui pada produk dan makanan yang berada di pasaran sekeliling. Namun, masih ramai yang tidak mempedulikannya, masih ramai yang suka mengambil makanan yang penuh dengan 'monosodium glutamate' (MSG), ia bukan sekadar berbahaya kepada tubuh, bahkan sumbernya juga diragui.

Kenapa KHK sangat menekankan perkara-perkara sebegini? Sejauh manakah kepentingannya pada kita selaku umat Islam? Ketahuilah wahai sahabat sekalian, sesungguhnya peranan pemakanan dan produk harian yang kita gunakan adalah sangat besar, ini bukan soal kesihatan jasmani semata-mata, tetapi ada isu yang lebih besar dan sangat besar selain itu, ia melibatkan penerimaan segala amal ibadah kita oleh Allah.

Jika kita sibuk beribadah dan berjuang semata-mata, namun kita lupa untuk menjaga apa yang masuk ke dalam perut kita dan keluarga kita, maka apalah gunanya amalan kita yang dirasakan sudah banyak itu? Sanggupkah kita menghadap Allah di padang Mahsyar nanti dengan tangan kosong? Apabila kita tiada amal kebaikan, ditambah pula dengan dosa memakan makanan yang haram, maka kitalah orang yang paling rugi, muflis dan derita terseksa di sana nanti. Na'uzubillah...


Makanan-makanan yang haram dan syubhah membuatkan hati kita keras dan gelap. Kerana itu, tidak hairanlah jika generasi kini semakin rosak dan runtuh akhlaknya, pelbagai masalah sosial yang kritikal dan ganjil melanda umat Islam...

Marilah sahabat-sahabat sekalian, kita renungkan dan insafi diri kita ini. Adakah makanan kita selama ini terjaga? Adakah amalan kita selama ini diterima Allah?


“Baginda S.A.W menceritakan tentang seorang lelaki yang berjalan jauh, rambutnya kusut dan berdebu, lalu lelaki itu berdoa, “Ya Rabb, Ya Rabb”, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia diberi makan dengan benda yang haram, maka bagaimanakah akan dimakbulkan doa untukya?”

(Riwayat Muslim)


"Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik."

(Riwayat Muslim)


"Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih layak baginya. "

(Hadis riwayat Thabarani)



Bersambung...


PERJUANGAN KHK (2)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...