MAKLUMAN TERKINI


> KEPADA MANA-MANA PESERTA KURSUS BEKAM DAN IRIDOLOGI 2010 YANG BELUM MENUNTUT SIJIL PENYERTAAN, ANDA BOLEHLAH MELAKUKAN DEMIKIAN MULAI SEKARANG, SILA RUJUK PAUTAN INI, LINK.


______________________________________________________________________________

KESAN PLASEBO DAN UBAT



Bismillahirrahmanirrahim.

Apakah sebenarnya yang menjadi wasilah atau mekanisme utama yang membawa seseorang itu kepada kesembuhan? Adakah ia hanya disebabkan oleh ubat-ubatan? Adakah ia hanya disebabkan oleh herba-herba? Atau adakah kesembuhan itu hanyalah suatu kebetulan?

Untuk menjawab persoalan ini, pertamanya kita perlu kembali kepada aqidah yang sebenar, iaitu Allah sebagai Pentadbir dan Penentu sebenar bagi segala sesuatu yang berlaku. Seterusnya, Allah tidak menjadikan pergerakan alam ini sebagai sesuatu yang rawak atau kebetulan tanpa sebab dan asbab yang khusus sepertimana yang didakwa oleh para pendokong teori evolusi. Oleh itu, sudah menjadi sunnatullah bahawa wujud sebab bagi segala sesuatu yang berlaku meskipun pada hakikatnya ia ditentukan oleh Allah yang kemudiannya dimanifestasikan ke alam ini sebagai memenuhi hukum sebab dan akibat yang telah Allah tetapkan.

Terdapat satu kisah yang menarik dalam hal ini, sebuah kisah yang dinyatakan oleh Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah dalam kitab "At-Tibb An-Nabawi", ia merupakan dialog antara Nabi Ibrahim dengan Allah Tuhan sekalian alam.

Nabi Ibrahim : Wahai Tuhanku, daripada siapakah penyakit?
Allah : Daripada Aku.
Nabi Ibrahim : Maka daripada siapakah ubatnya?
Allah : Daripada Aku.
Nabi Ibrahim : Maka apa gunanya perawat?
Allah : Ia merupakan orang yang pada tangannya diturunkan ubat.

Persoalan yang seterusnya ialah apakah sebab-sebab yang telah Allah tentukan sebagai wasilah atau mekanisme bagi sesuatu yang berlaku khususnya dalam konteks perbincangan kita iaitu kesembuhan. Sesetengah orang hanya menerima kaedah mencari kesembuhan dengan ubat-ubatan kerana mungkin mereka menyangka bahawa kesembuhan itu mestilah dengan sebab yang zahir pada pancaindera yang lima. Namun, pemikiran sebegini bukanlah sesuatu yang benar, bahkan tertolak menurut kajian sains sekalipun.

Suatu masa dahulu, mungkin ramai yang menyangka bahawa sesuatu yang abstrak dan tidak dapat dikesan oleh pancaindera, tidak mampu memberi kesan kepada sesuatu yang zahir atau material. Tetapi, sains sudah membuktikan bahawa kesan perkara yang abstrak terhadap perkara material seperti tubuh manusia, bukanlah sesuatu yang mustahil, bahkan adakalanya ia boleh memberi kesan kepada perkara material mengatasi kesan ubat-ubatan. Inilah yang dikatakan sebagai kesan plasebo.




"Kesan plasebo" merupakan istilah bahasa inggeris yang wujud secara berpasangan iaitu "placebo effect" dan "nocebo effect". Placebo effect bererti "kesan positif yang berlaku apabila seseorang itu berfikiran positif", manakala nocebo effect pula bererti "kesan negatif yang berlaku apabila seseorang itu berfikiran negatif". Perkara ini telah dibuktikan dengan jayanya dalam bidang farmakologi khususnya, dan beberapa bidang lain secara amnya.

Dalam bidang farmakologi, apabila sesuatu bahan baru ingin diuji kesannya, dua orang pesakit akan diuji dengan cara salah seorang diberi bahan baru tersebut, manakala seorang lagi diberi bahan biasa yang bukan ubat tanpa kedua-dua pesakit tersebut diberitahu apakah bahan sebenar yang mereka terima. Hasilnya, sama ada kesan plasebo yang terhasil daripada bahan biasa tadi menyamai kesan ubat, atau kurang, atau lebih baik. Dalam bidang fisiologi pula, seseorang yang tertekan emosinya boleh menyebabkan sistem endokrin menghasilkan hormon kortisol yang boleh menyebabkan lambatnya proses kesembuhan, atau yang lebih teruk ialah menyebabkan penyakit jangkitan. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Hormon ini mempunyai banyak kesan negatif, antaranya ialah membuatkan sel-sel imuniti tidak berkeliaran di seluruh tubuh, sebaliknya 'bersembunyi' di dalam kelenjar limfatik, kemudian sebarang bakteria yang sedia ada pada tubuh atau yang baru datang akan dapat menyerang tubuh tanpa dilawan oleh sistem imuniti.

Perkara ini bersesuaian dengan firman Allah dalam sebuah hadis qudsi;

" Aku adalah berdasarkan apa sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Jika ia bersangka baik, maka itulah untuknya. Dan jika ia bersangka buruk, maka itulah untuknya..."

(Hadis Qudsi Riwayat Ahmad)

Maka dengan sebab itu, tidak hairanlah jika Perubatan JAWI meyakini bahawa 90% daripada kesembuhan adalah disebabkan oleh faktor abstrak seperti spiritual, mental dan emosi. Manakala 10% yang berbaki barulah disandarkan kepada faktor material seperti ubat-ubatan atau rawatan. Jelas sekali di sini tentang kepentingan penjagaan aspek spiritual seperti ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah dengan pelbagai amalan soleh khususnya solat, doa, Al-Quran, zikir, selawat dan sedekah.

Walaubagaimanapun, terdapat sebahagian orang yang memperlekeh atau memandang rendah kepada kesan plasebo, bahkan menganggap kesembuhan dan rawatan yang bersifat plasebo sebagai bukanlah jenis rawatan yang sebenar kerana tiada ukuran zahir yang boleh diukur dengan tepat dosnya.

Pemikiran sebegini bolehlah kita sanggah dengan mengatakan bahawa tujuan rawatan yang sebenar bukanlah untuk menggunakan ubatan zahir yang boleh diukur dosnya, tetapi adalah untuk mendapatkan kesembuhan. Oleh itu, apa-apa sahaja yang boleh membawa kepada kesembuhan bolehlah diterima sebagai rawatan selagimana ia tidak bertentangan dengan syarak.

Golongan ini juga sebenarnya boleh dikatakan sebagai kurang rasional kerana apa perlunya lagi untuk mengambil ubatan material sekiranya 'ubatan' rohani sudah cukup untuk merawat, bahkan ia adalah percuma, mudah dan mampu dilakukan oleh semua orang.

Dalam hal ini, peranan seorang perawat tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebagai pembantu kepada sistem sedia ada yang wujud dalam tubuh pesakit yang dinamakan oleh ahli perubatan masa kini sebagai 'homeostasis' atau self healing, seperti yang dikatakan oleh pakar perubatan terdahulu iaitu Galen;

"Seorang perawat adalah pembantu kepada sistem tubuh yang sedia ada."

Ini bererti tubuh kita kita sudah mempunyai sistem rawatan yang sangat sempurna untuk membuang racun atau melawan jangkitan. Perkara ini terbukti dengan sangat jelas dalam kajian mengenai sistem imuniti, sistem autonomik dan juga sistem metabolisme tubuh. Bahkan, saya juga meyakini bahawa sebagaimana tekanan perasaan boleh membawa kepada penyakit melalui 'racun semulajadi' kortisol, begitu jugalah tubuh dapat menghasilkan 'ubat semulajadi' apabila seseorang itu berada dalam ketenangan dan kebahagiaan. Hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil, bahkan kajian sains masih banyak cacatnya dan mungkin akan menemui mekanisme rawatan semulajadi suatu hari nanti, insyaAllah.

Peranan perawat dalam hal ini sangat besar, khususnya dalam membangkitkan keyakinan kepada pesakit dengan meletakkan harapan kepada Allah Asy-Syafi, dan untuk membuatkan pesakit tenang dengan melahirkan rasa redha terhadap musibah yang menimpa. Seorang perawat yang pakar ialah perawat yang mampu membawa kepada kesembuhan hanya dengan mengawal psikologi dan rohani pesakit atau pengurusan diri yang asas, jika tidak mampu, barulah berpindah kepada ubatan material. Ini bersesuaian dengan apa yang telah dikatakan oleh Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah dalam kitabnya "At-Tib An-Nabawi" ;

"Para perawat telah bersepakat bahawa selagimana rawatan boleh dilakukan dengan makanan, maka tidak perlu kepada ubatan, selagimana boleh dilakukan dengan ubatan yang ringkas, maka tidak perlu kepada ubatan yang kompleks."


Allahumma Ya Syafi, isyfi mardhona wa mardhol muslimin...


Wallahu'alam.


-Muhammad Nasiruddin bin Mohd Sobri-



Read more >>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...